CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 14 Oktober 2008

Antara Masalah Yang Dihadapi

Oleh: SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

PUTRAJAYA 16 Mac - Penghuni Pangsapuri Mampu Milik Putra Damai di Presint 11 di sini meminta pihak berkuasa melakukan sesuatu terhadap masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan itu.

Menurut mereka, sejak menduduki pangsapuri itu dua tahun lalu, sudah empat kali banjir kilat melanda kawasan itu dan dengan cuaca yang tidak menentu sekarang ini, penduduk bimbang ia akan berulang.
Kata penghuni terbabit, apabila banjir kilat itu berlaku, ia akan menyebabkan longkang tersumbat dengan lumpur dan sampah, kawasan letak kereta dan motosikal serta beberapa jalan masuk pula akan digenangi air berlumpur.

Menurut seorang penduduk di situ, Wan Muhd. Zarimi Wan Ali, mereka sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tetapi hanya tindakan baik pulih bersifat sementara sahaja yang diambil setakat ini.
"Setakat ini, tiada tindakan pemulihan jangka masa panjang dilakukan walaupun banjir kilat agak kerap berlaku," katanya.
Wan Muhd. Zarimi berkata, pihak berkuasa juga seolah-olah tidak ada kaedah lain untuk mengatasi masalah itu.
"Jika tiada pemulihan kekal, sudah pasti banjir akan datang lagi dan menyebabkan beberapa longkang tersumbat sehingga menyukarkan aktiviti kami," katanya.
Selain masalah banjir kilat, pangsapuri lima blok yang mempunyai ketinggian 16 tingkat dan lima tingkat itu turut mengalami beberapa masalah lain.
Antaranya ialah bumbung pangsapuri itu sangat mudah tercabut jika dilanda angin kencang.

Dengan membayar harga kos penyelenggaraan sebanyak RM109 setiap bulan termasuk bayaran tabung dana, penduduk berasa tidak puas hati dengan kerja-kerja membaik pulih yang tidak setimpal serta keadaan rumah yang masih lagi tidak diselenggara dengan baik.

Penghuni di situ juga masih belum menerima sijil layak menduduki (CF) sementara yang sudah tamat tempoh lebih setahun lalu.
Menurut mereka lagi, pangsapuri itu belum lagi mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana alat pencegahan kebakaran belum lagi berfungsi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pangsapuri ini jugabelum dilengkapi kemudahan asas seperti dewan serbaguna, kedai serbaneka dan beberapa kemudahan lain yang penting memandangkan lokasinya terletak jauh dari pusat bandar.
Beberapa masalah lain turut merisaukan kira-kira 2,000 penduduk di situ seperti pembiakan nyamuk aedes, warga asing yang mula menyewa di sini dan anjing liar yang berkeliaran.

Memandangkan Putrajaya merupakan bandar terancang, penduduk berpendapat, mereka tidak sepatutnya hidup dalam keadaan tertekan disebabkan masalah-masalah seperti itu.

0 ulasan: